Tuesday, September 13, 2011

CINTA TIADA AKHIRNYA [II].....

Ana melangkah dengan penuh kelesuan.Pagi itu Ana ke tempat kerja dengan fikiran kosong. Semangatnya seolah-olah terbang bersama berlabuhnya tirai malam..Dalam keterpaksaan dia menyusuri hari itu tanpa perasaan. Puas diusir rasa kebosanan di dalam diri. Namun, sia-sia. Semakin cuba diusir jauh, semakin dekat rasa kekosongan itu membelenggu dirinya. Lantaran itu, Ana membiarkan sahaja rasa kekosongan itu mengekori langkahnya pagi itu.

Semalam, puas Ana menelefon Zahar. Tetapi hampa. Tiada tanda-tanda Zahar akan menyambut panggilan daripadanya. Sudah bulatkah tekad Zahar dengan keputusannya mahu melepaskan Ana pergi jauh dari sisinya? Sudah terleraikah simpulan kasih yang selama ini tersimpul kukuh? Sudah suramkah sinaran mentari yang menyinari hubungan kasih antara Zahar dan Ana? Sudah tidak adakah rasa cinta di hati Zahar terhadap Ana? Pelbagai persoalan menerjah minda Ana dan semua persoalan berlalu tanpa jawapan yang boleh mendamaikan resah di hati Ana.

Bukan sekejap waktu Ana dan Zahar menyulam kasih, menyimpul rindu dan menganyam mimpi untuk sehidup semati melayari bahtera kebahagiaan. Tiga tahun bukanlah waktu yang singkat. Banyak yang telah Ana dan Zahar lalui sepanjang tempoh tiga tahun ini. Suka, duka, rindu dan kasih sudah menjadi perisa dan perencah di dalam hubungan mereka. Tiba-tiba, segalanya akan terlerai...mampukah untuk Ana menghadapi detik itu?

Hati Ana tersentap tatkala Zahar memberitahu dia terpaksa menamatkan hubungan ini. Bukan dia tak sayang. Bukan dia tak cinta. Tapi, semuanya atas sesuatu perkara yang tidak mampu untuk dielak. Biarlah rahsia. Biarlah keperitan itu Zahar tanggung sendirian. Dia tidak mahu menyusahkan Ana di kemudian hari. Ana tersendu di bahu Zahar. Lelaki yang begitu dicintai sepenuh hati. Zaharlah cinta pertamanya. Mana mungkin untuk Ana mencintai lelaki lain selain Zahar. Cinta di hatinya hanya milik Zahar. Perpisahan ini untuk kebaikan Ana juga...bisik Zahar begitu sayu di cuping telinga Ana. Dalam sendu, Ana memandang Zahar sayu. Tidak sanggup rasanya untuk Ana melalui detik-detik seterusnya sendirian tanpa Zahar di sisi. Zahar, lelaki yang berjaya menakluki hatinya. Zahar cinta pertamanya. Namun, inikah kesudahannya.......

2 comments:

  1. ermmmm menarik...teruskan.....nak baca untuk seterusnya....

    ReplyDelete
  2. nak teruskan...kena ada sumber inspirasi...baru otak cair sikit.....tunggule sambungannya...tapi tak tau bila idea tu nak mai...hahaha...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...